PEMBENTANG kertas kerja dari Indonesia bergambar bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia
(UUM), Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan (depan, empat dari kiri) , bersempena perasmian Persidangan
Antarabangsa Politik Malaysia-Indonesia di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 17 Julai lalu.
PADA 17 dan 18 Julai lalu, berlangsung Persidangan Antarabangsa Politik Malaysia-Indonesia: Menilai Kualiti Demokrasi dan Hubungan Bilateral di Universiti Utara Malaysia (UUM). Persidangan ini dianjurkan oleh Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) dengan kerjasama Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) dan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD).
Objektif persidangan ini adalah untuk menilai dan membandingkan keadaan demokrasi di Malaysia dan Indonesia selain membincang, memperkukuh hubungan politik, ekonomi serta sosial bagi kedua-dua negara. Ia juga bertujuan untuk menyediakan platform bagi pembuat dasar, ahli akademik dan pemimpin masyarakat sivil untuk berdialog mengenai isu-isu penting selain memupuk kerjasama akademik dan perkongsian penyelidikan antara institusi di kedua-dua negara. Sebanyak 32 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang dari hampir 20 institusi dari Malaysia dan Indonesia.
Majlis ini juga menyaksikan jalinan kerjasama termeterai antara UUM dengan Universitas Sumatra Utara (USU); Medan, Universitas Andalas, Padang (UAP); Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ); Universitas Kristen Indonesia (UKI); Universitas Bangka Belitung (UBB); Universitas Medan Area dan lima Universitas Islam Negeri (UIN) iaitu Sunan Gunung Djati Bandung, Sunan Ampel Surabaya, Raden Fatah Palembang, Walisongo Semarang dan Sumatra Utara.
Kertas kerja utama dibentangkan oleh Pensyarah Ilmu Politik, Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), USU merangkap Setiausaha Eksekutif USU Centre for Health Politic and Management (UCHPOLM) dan Direktur E-DEV Indonesia, Dr. Warjio menjelaskan metod pengukuran kualiti Pemilihan Umum (Pemilu). Antara kertas kerja menarik yang dibentangkan ialah Dinamik Politik Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) dan Indonesia Pasca Orde Baru 1998: Trend dan cabaran demokrasi parlimen dan presiden oleh Dr. Mohammad Fajar Ikhsan dari UUM.
Pengasas Yayasan Bitra Indonesia dan bekas Bupati Kabupaten Serdang Bedagai, Sumatera Utara, Soekirman, pula membentangkan kertas kerja bertajuk Kualiti Demokrasi Indonesia-Malaysia: Pengalaman praktis di era reformasi dan cabaran di hadapan.
Ketua Pusat Penelitian dan Pengabdian Kepada Masyarakat (Ka. Pus P3M), dan Pensyarah Ilmu Komunikasi, UKI, Prof. Dr. Chontina Siahaan, pula membicarakan tajuk Media sosial X sebagai sarana perwujudan demokrasi dalam pemilu 2024 di Indonesia.
Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Merbok, Tunku Nashril Tunku Abaidah, pula menyatakan pandangannya melalui tajuk Politik baharu di Malaysia: Ke arah kematangan demokrasi. Manakala Summugam Rengasamy, pelajar doktor falsafah dari Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM, pula menilai kualiti demokrasi Malaysia di bawah Kerajaan Madani, khususnya dari aspek kejayaan dan cabarannya.
Dalam konteks hubungan Malaysia dan Indonesia, satu aspek penting yang diperkatakan oleh ahli-ahli akademik yang hadir ialah kerjasama keselamatan dan pertahanan. Felo Utama di Pusat Kajian Asia, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Kamarul Nizam Abdullah, berbicara mengenai Membina keyakinan kerjasama keselamatan dan pertahanan dua hala Malaysia-Indonesia. Ketua Program Doktor Studi Kebijakan, UAP, Prof. Dr. Asrinaldi, beserta Dewi Anggraini dan Lusi Puspika Sari membentangkan kertas kerja bertajuk Keamanan dan kestabilan serantau: pengembangan sistem pertahanan sosial masyarakat di daerah perbatasan Indonesia-Malaysia.
Pensyarah Fakulti Dakwah dan Komunikasi, UIN Sumatera Utara, Dr. Salamuddin dan Dr. Ade Suzana Eka Putri dari Fakulti Kesihatan Masyarakat, UAP, berbicara atas tajuk Peran Negara dan Tantangannya saat Pandemik Covid-19 di Indonesia: Peluang Penguatan yang Kolaboratif Malaysia dan Indonesia dalam Menghadapi Krisis Persidangan ini juga mendapat dukungan daripada Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Hermono, yang menyatakan beliau percaya bahawa ia akan membuka peluang untuk dialog yang produktif dan kolaborasi yang lebih erat antara institusi akademik dan penelitian di kedua negara. Hermono juga berkata, dalam konteks serantau, Indonesia dan Malaysia adalah sebagai jangkar (anchor) dalam menjaga kestabilan dan keamanan. Oleh kerana itu, hubungan Indonesia dan Malaysia haruslah kukuh dalam segala bidang. Tambah Hermono, masalah perbatasan, pekerja asing Indonesia, isu warisan budaya tidak boleh lagi dibiarkan kerana boleh menjadi punca perbalahan dan perpecahan.
PELUANG BAHARU
Turut menyokong ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuklah para cendekiawan dan pemikir untuk merancakkan gerak kerja ke arah mengeratkan hubungan dua hala yang mencakupi pelbagai bidang. Ujar beliau, hubungan ini terus diperkukuhkan lagi di bawah Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kedua-dua negara beriltizam untuk meningkatkan kolaborasi serta meneroka peluang baharu merentasi bidang ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan serta perhubungan antara rakyat.
Pada akhirnya, peserta persidangan ini membuat deklarasi bahawa mereka akan bergabung dalam satu organisasi Pusat Jaringan Analisa Politik Malaysia-Indonesia (CPAMI) yang akan berpusat di UUM. Tujuan penubuhan CPAMI bagi membolehkan para peneliti, ahli akademik dan aktivis kedua-dua negara mendedikasikan keilmuan dan pengalaman mereka untuk menjadi kolaborator dalam memberikan pendidikan selain melakukan kajian serta bersama[1]sama menyumbang dalam menyelesaikan masalah sosial politik di Malaysia mahupunIndonesia. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat sehingga melahirkan penubuhan CPAMI.
NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, merangkap rapporteur Persidangan Antarabangsa Politik Malaysia-Indonesia: Menilai Kualiti Demokrasi dan Hubungan Bilateral.
Sumber: Ahli akademik Malaysia-Indonesia perkukuh pendidikan serantau (utusan.com.my)
Tinggalkan Komentar